KUALA PILAH: Penutupan pusat pengundian Balai Raya Melang, Kampung Gemuruh dekat sini pada pukul 2 petang adalah mengikut apa yang diwartakan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap menjelaskan, sekiranya pusat pengundian itu terus dibuka daripada waktu yang ditetapkan, ia akan menyebabkan berlaku bantahan kerana ia sudah ditetapkan dalam Warta Kerajaan.

“Kalau pusat pengundian berkenaan diarahkan tutup pukul 2 petang, petugas akan menutup pada masa berkenaan. Kami mahu elakkan adanya bantahan kalau kami buka lebih dari waktu mengundi yang telah ditetapkan dalam Warta Kerajaan.

“Sewajarnya, sebelum hari pengundian, semua pengundi telah menyemak terlebih dahulu butiran pengundian membabitkan tempat mengundi dan waktu tempat mengundi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tular tiga video berdurasi kurang 30 saat di aplikasi WhatsApp membabitkan beberapa individu tidak berpuas hati apabila mereka tidak dapat mengundi dalam kejadian di Balai Raya Melang, Kampung Gemuruh, di sini selepas pusat pengundian berkenaan ditutup pada pukul 2 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, sehingga kini pihak berkenaan masih belum membuat sebarang laporan polis dan kes dirujuk kepada pihak SPR.

Sebagai rekod, selain Balai Raya Melang, sebuah lagi pusat mengundi di Kuala Pilah diwartakan tutup pada pukul 2 petang iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chun Hua, Kuala Pilah. – UTUSAN

The post Pusat Pengundian Balai Raya Malang diwarta tutup pukul 2 petang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *