YAN: Kejadian pusaran angin seperti puting beliung yang dirakam melanda daerah ini, petang semalam tidak membabitkan kejadian tidak diingini atau bencana kepada penduduk berhampiran.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, kejadian disedari anggotanya yang bertugas di Pusat Kawalan Operasi Daerah pada pukul 5.17 petang.

“Selepas membuat semakan dengan orang awam, sepasukan anggota bertugas digerakkan ke empat lokasi kejadian pusaran angin untuk membuat pemantauan.

“Namun kita mendapati tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku di Kampung Teroi, Jalan Titi Batu 18, Kampung Sedaka dan Kampung Dulang, di sini,” katanya ketika ditemui.

Kata Muhammad Zul, kejadian pusaran angin itu berlaku ketika hujan lebat yang disertai angin kencang.

Kejadian itu sempat dirakam seorang penduduk, Abd. Rashid Mohd. Darom, 36, semasa dia berada di luar rumahnya di Taman Cempedak Indah, Guar Cempedak di sini.

Walaupun dalam keadaan terkejut kerana kali pertama melihat kejadian itu depan matanya, Abd. Rashid sempat merakamkan pusaran itu sehingga ia hilang.

Dia kemudian memuat naik video rakaman tersebut di akaun TikTok Rasid Darom Jawa yang kemudiannya tular di media sosial. – UTUSAN

The post Puting beliung tidak jejaskan penduduk Yan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *