AMSTERDAM: Penganjur Piala Dunia Qatar bersetuju menanggung perbelanjaan sekumpulan peminat bagi me­nyaksikan kejohanan itu, dengan syarat mereka memberi ulasan positif.

Media Belanda Ahad lalu melaporkan, Qatar sedia menanggung kos penerbangan dan penginapan 50 peminat dari negara itu sepanjang 20 November hingga 18 Disember tetapi sebagai balasan, mereka perlu memberi ulasan positif di media sosial.

Salah seorang peminat berkata, mereka dipilih oleh penganjur sebagai ‘ketua penyokong’ dan diminta menyenaraikan 50 peminat setia ke Qatar secara percuma.

“Ketika kejohanan semakin dekat, kami dijemput oleh ke­tua penyokong paling aktif untuk mencalonkan sekumpulan peminat sebagai tetamu,” kata jurucakap kumpulan peminat berkenaan.

Dalam laman web rasmi kejohanan, penganjur menjelaskan program ‘ketua penyokong’ adalah rangkaian melibatkan 400 peminat dan pempengaruh dari 60 negara.

Penganjur tidak mendedahkan jumlah peminat yang dijemput atau butiran per­belanjaan keseluruhan untuk program itu.

Media Belgium dan Perancis turut melaporkan perkara sama apabila sekumpulan penyokong dari negara itu ditawarkan pakej percuma ke Piala Dunia Qatar.

Sementara itu, dalam per­kembangan berkaitan, Jepun meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir pada Piala Dunia 2022.

Sasaran tersebut diumumkan Ketua Jurulatih Samurai Blue, Hajime Moriyasu ketika me­ngumumkan senarai 26 pemain semalam.

Jepun tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam sejarah kejohanan.

“Ia tidak mudah, tetapi sasaran kami adalah melangkah ke suku akhir,” kata Moriyasu dalam sidang akhbar di Tokyo. – AGENSI

The post Qatar taja peminat, asalkan beri ulasan positif appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *