KAJANG: Calon Perikatan Nasional (PN) P125 Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin memilih Desa Pinggiran Putra, di sini sebagai antara lokasi akhir kempennya menjelang hari pengundian esok.

Radzi ketika ditemui berkata, beliau dimaklumkan ramai pengundi luar Putrajaya menetap di kawasan perumahan ini dan jumlahnya agak besar.

“Saya rasa ralat kalau tidak singgah di sini dan bertemu dengan sahabat-sahabat sekalian. Kempen hari ini boleh dianggap ‘final lap’ (pusingan akhir) menjelang pengundian esok. Dalam pusingan akhir inilah kita mahu ‘potong tang corner’.

“Kepada pengundi Sepang yang menetap di sini, tolonglah undi sahabat saya, Datuk Seri Rina Harun. Insya-Allah, kami akan sama-sama sumbang kerusi untuk pembentukan kerajaan baharu nanti,” katanya hari ini.

Katanya, jadual kempennya hari ini masih penuh dan beliau akan memastikan semua segmen penduduk dan pengundi didekati kerana satu undi akan diambil kira.

Radzi berkata, jumlah pengundi yang layak di Putrajaya adalah lebih 42,000 orang, justeru beliau tidak boleh ‘duduk diam’.

Desa Pinggiran Putra terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari pusat beli-belah Alamanda dan tiga km dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan berada di pinggir Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang didiami majoriti orang Melayu dan kebanyakannya adalah penjawat awam bekerja di Putrajaya.

Desa Pinggiran Putra beralamat di Kajang, namun ia berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang. – UTUSAN

The post Radzi santuni pengundi luar Putrajaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *