SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha kini memangku tugas sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan selepas  Datuk Eddin Syazlee Shith yang memegang jawatan itu mengalami masalah kesihatan.

Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahya berkata, Rafiei akan memangku tugas berkenaan sehingga Eddin Syazlee kembali bertugas. 

“Bertepatan dengan Fasal 21.2 perlembagaan iaitu semasa ketiadaan pengerusi badan perhubungan negeri, seorang pemangku pengerusi hendaklah dipilih dalam kalangan timbalan-timbalan pengerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, menurut sumber, Utusan Malaysia melaporkan Eddin Syazlee yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah tidak dapat dikesan selepas beliau pulang mendapatkan rawatan di luar negara sejak seminggu lalu.

Keadaan tersebut menyebabkan timbul tanda tanya sama beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan akan mempertahankan kerusi Kuala Pilah ataupun tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Khairul Yazman sementara itu menjelaskan, Penasihat PN Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim turut membantu pemangku bagi melaksanakan tugas berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus menjelaskan, soal Pengerusi PN bukan di bawah bidang kuasa negeri untuk menentukan penggantinya kerana ia dibawah bidang kuasa Pengerusi PN di peringkat Pusat.

“Kalau di peringkat PN negeri juga, boleh saya sahkan bahawa kami akan mempertahankan dan mencadangkan supaya Datuk Eddin terus mengemudi Parlimen Kuala Pilah, itulah pendirian kami,” katanya. –UTUSAN

The post Rafiei pangku tugas Pengerusi PN Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *