PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk melantik bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Ekonomi bagi menggantikan Rafizi Ramli.

Ini kerana, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Rafizi sebagai individu yang angkuh dan tidak kompeten kerana menetapkan matlamat yang tidak wajar sebagai seorang menteri.

Katanya, matlamat itu menunjukkan pendekatan kerajaan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berbeza dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Matlamat kerajaan bukan untuk bagi sesiapa terduduk, tapi matlamat kerajaan ialah membantu rakyat tanpa mengira pegangan politik.

“Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN memegang kuasa, kita prihatin menjaga kebajikan semua rakyat dan kita langsung tak pernah terniat supaya PH terduduk. Tak kira PN atau PH, semua kita bantu. Itulah beza kerajaan PN yang adil dan PH-BN yang angkuh dan tidak kompeten.

“Sifat angkuh PH-BN inilah yang menyebabkan mereka sentiasa salah sasaran. Sasaran sebenar sepatutnya menghasilkan idea bantu rakyat tapi disebabkan angkuh, sasaran PH-BN masih lagi nak balas dendam jika ada orang kritik mereka. Akibatnya idea penyelesaian masalah rakyat belum ada,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, kerajaan seharusnya melihat bagaimana untuk memulakan pembaharuan terhadap bekalan makanan supaya ada penyelesaian jangka panjang berkaitan harga barang.

“Dasar berkaitan insentif, percukaian, subsidi, peraturan eksport, semuanya adalah perkara yang boleh kerajaan gunakan untuk bantu rakyat.

“Sekiranya Rafizi terus menerus angkuh, saya cadangkan Anwar  gantikan dia dengan Johari Abdul Ghani. Johari jauh lebih berwibawa dan tidak kebudak-budakan sehingga nak buat sesiapa terduduk semata-mata sebab dendam politik,” katanya.- UTUSAN

The post Rafizi angkuh, patut diganti dengan Johari Ghani – Wan Saiful appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *