PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat segera sumber aliran dana bernilai RM16 juta diperoleh calon Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menerusi Invoke Sdn. Bhd. (Invoke).

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM), Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, beliau mahu SPRM menyiasat sama ada dana itu diperoleh menerusi penggubahan wang haram atau sumber tidak sah.

Beliau berkata, Rafizi harus memberi penjelasan sebenar mengenai perkara itu kepada SPRM supaya ia tidak dijadikan modal oleh mana-mana parti politik.

“Saya dimaklumkan Invoke yang ditubuhkan pada 2016 pernah berdepan tiga kali kerugian dan dua kali untung. 

“Saya salute (tabik hormat) kepada Rafizi kerana mengisytiharkan harta tapi kami mahu tahu dari mana aliran dana itu diperoleh,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan SPRM, hari ini.

Katanya, jika benar Rafizi terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram, maka Rafizi tidak layak untuk bertanding di Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Syed Mohammad Imran berkata, jika dakwaan itu benar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga boleh menilai semula kelayakan Rafizi sebagai calon di Pandan.

Ditanya sama ada PJPNM turut menyiasat calon lain berkaitan isu sama, Syed Mohammad Imran berkata, buat masa ini, hanya Rafizi sahaja.

“Setakat ini, kami hanya nampak Rafizi sahaja kerana pengaliran wang menerusi Invoke itu amat mencurigakan.

“Saya difahamkan, Invoke memperoleh dana daripada pendanaan awam (crowdfunding) tetapi macam mana dia (Rafizi) bayar gaji pekerja,” katanya.

Katanya, beliau menganggap Rafizi sebagai pejuang rasuah, namun aliran wang oleh Invoke ini membabitkan dana yang banyak dan sumber yang mencurigakan.

Jelasnya lagi, momentum pengisytiharan harta ini sesuatu yang bagus, namun ia harus diperjelaskan dengan telus bagi mengelak kekeliruan orang ramai.

Sebelum ini, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta. – UTUSAN

The post ‘Rafizi perlu jelaskan sumber dana Invoke’  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *