PUTRAJAYA: Tiada sebarang laporan polis diterima setakat ini berhubung tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli susulan kenyataannya terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan Rafizi mengeluarkan kenyataan secara melulu itu tidak sepatutnya berlaku.

“Sehingga semalam (Khamis) tiada lagi laporan polis kecuali dah ada (tapi) tak dimaklumkan kepada saya, tapi setakat semalam tidak dimaklumkan kepada saya lagi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan KP29 Siri 1 Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan perbarisan tamat latihan melibatkan seramai 193 pegawai.

Media pada Rabu melaporkan, Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan menerusi Ceramah Mega di Johor Bahru berkata, PH akan mencari Azam sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, mana-mana pemimpin parti tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menakutkan-nakutkan penjawat awam.

“Parti seperti Rafizi ini, kerja lain tiada hanya nak menakutkan pegawai-pegawai tertinggi dalam negara kita, mereka hanya melakukan kerja mereka, apa yang nak menakut-nakutkan mereka ini?

“Negara kita ini ada undang-undang, sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang dalam negara sama ada pegawai tertinggi, pegawai rendah, rakyat biasa atau pemimpin mana-mana parti kalau lakukan kesalahan, melanggar undang-undang kita akan ambil tindakan terhadap mereka,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan kesiapsiagaan anggota keselamatan menjelang hari mengundi esok, Hamzah berkata, pihaknya berharap tiada sebarang insiden luar jangka yang akan berlaku.

“Kita berdoa supaya ia tidak berlaku kerana akan menyulitkan rakyat untuk keluar mengundi,” katanya. – UTUSAN

The post Rafizi ugut Azam Baki: tiada laporan diterima – Hamzah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *