KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan dua misi besarnya jika Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Rafizi berkata, misi pertama ialah untuk menaikkan gaji seluruh rakyat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Katanya, langkah itu penting kerana rakyat tidak boleh berterusan menerima paras gaji rendah seperti pada masa ini.

“Saya tidak tahu tentang pimpinan lain, tetapi saya akan berikan sepenuh tumpuan untuk cari jalan bagaimana menaikkan gaji rakyat, misi saya lebih besar daripada kejar perompak.

“Bagaimana budak keluar universiti dapat gaji antara RM1,800 hingga RM2,200 di Kuala Lumpur sedangkan pekerja goreng pisang pun dibayar RM1,500 sebulan,” katanya dalam ceramah Ayuh Malaysia di padang Taman Seraya di sini.

Rafizi berkata, misi keduanya pula ialah untuk menggubal undang-undang baharu bagi menghukum individu yang mencetuskan kebencian sesama rakyat.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan tiada mana-mana pemimpin atau individu yang membuat ucapan yang melagakan rakyat berbilang bangsa di Malaysia sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Sesiapa yang membuat kebencian sesama kita, maka padah menunggu mereka di mahkamah,” katanya.

Rafizi berkata, kedua-dua misi itu penting bagi membersihkan negara. – UTUSAN

The post Rafizi umum misi besar naik gaji rakyat, hukum individu cetus kebencian kaum appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *