KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan meragut beg tangan seorang wanita, November lalu.

Mengikut pertuduhan, Hafiz Said, 38, didakwa menyamun beg tangan seorang wanita berusia 41 tahun yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad Maybank, telefon bimbit jenis Samsung, kunci rumah, kunci motosikal dan wang tunai RM50.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.40 pagi, 28 November lalu di hadapan sebuah hotel di Jalan Sarikei Setapak, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam, Tai Zee How.

Menurut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan ragut itu ketika menaiki motosikal. Lelaki berkenaan kemudian ditangkap sebuah rumah di Taman Gembira, di sini pada 10 Disember lalu.

Selepas menjatuhkan hukuman penjara tersebut, Hakim Siti Aminah Ghazali turut memerintahkan agar hukuman penjara terberkuat kuasa dari tarikh tangkapan 10 Disember lalu. – UTUSAN

 

 

The post Ragut RM50, penjara 30 bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *