SHAH ALAM: Kerja keras menampilkan persembahan kreatif selama lapan minggu membuahkan hasil buat penyanyi senior, Rahmad Mega apabila dinobatkan sebagai juara program Terpaling Juara yang menutup tirainya, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Rahmad membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Pada persaingan akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, Rahmad membawakan lagu Ku Akui, nyanyian asal Hafiz dan berduet dengan kaptennya, Hael Hussaini menerusi lagu Di Penjara Janji.

Rahmad yang ditemui usai pertandingan meluahkan rasa syukur dan gembira atas kemenangannya itu.

“Hasrat saya menyertai pertandingan ini adalah untuk menyahut cabaran dan melihat potensi serta mencabar diri.

“Pertandingan ini adalah untuk bersaing dan mencari kemahiran lain yang kita tidak pernah tahu mampu melakukannya,” katanya.

Tempat kedua pula menjadi milik Aqmal Ramdan yang pulang dengan wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Tempat ketiga dirangkul Hazami yang meraih wang tunai RM30,000, manakala Shaz Shaharum terpaksa berpuas hati pada kedudukan tempat keempat dengan menerima RM10,000 berserta trofi.

Pentas akhir Terpaling Juara diserikan dengan kemunculan istimewa, Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku juri jemputan. Siti turut membuat persembahan dengan mendendangkan lagu Wajah Kekasih, Ku Milikmu dan Balqis secara medley.

Program realiti yang berlangsung selama lapan minggu itu menampilkan Datuk Hattan dan Fauziah Latiff sebagai juri tetap, manakala Shiha Zikir dan Haziq Hussni bergandingan sebagai pengacara.

The post Rahmad Mega muncul pemenang musim pertama Terpaling Juara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *