KUALA LUMPUR: Semua Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tiba di Istana Negara, di sini, bagi menghadiri perbincangan khas Raja-Raja Melayu untuk merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu, hari ini.

Kenderaan pertama dilihat tiba di Istana Negara adalah kereta yang membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pukul 9.40 pagi.

Beberapa minit kemudian, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba pukul 10.20 pagi diikuti Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang masing-masing tiba pukul 10.29 dan 10.45 pagi.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah kemudian tiba di Istana Negara pukul 10.52 pagi diikuti Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang tiba pukul 10.54 pagi, manakala Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir tiba pukul 10.56 pagi.

KENDERAAN membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tiba di pintu utama, Istana Negara. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Utusan Malaysia melaporkan pintu utama Istana Negara menjadi tumpuan apabila puluhan pengamal media mula berkumpul sejak pukul 7 pagi tadi.

Ia susulan perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang akan diadakan hari ini sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dipetik berkata, perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi, semalam.

KENDERAAN membawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tiba di Istana Negara. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Semalam, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Seri Paduka menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap pukul 10.30 pagi semalam, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Kelmarin, Seri Paduka mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. – UTUSAN

The post Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *