JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah supaya kejadian yang menimpa kanak-kanak berusia empat tahun yang mati akibat didera menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Baginda mahu supaya rakyat bersikap lebih peka dengan mengambil berat tentang kesejahteraan kanak-kanak.

“Sungguh memilukan hati saya mendengar penerangan daripada Ketua Polis Johor, sehingga beliau sendiri menitiskan air mata. Ia mengingatkan saya kepada kes mendiang ‘Baby Bala’ pada tahun 1990 yang turut membawa kepada penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sebagai seorang ibu dan juga nenek, saya bukan sahaja menyeru, bahkan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lebih peka dan ambil berat akan keselamatan kanak-kanak. Setiap nyawa, tidak ternilai harganya,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Raja Zarith turut bertitah bahawa semua anggota lapisan masyarakat mempunyai peranan dalam membantu mewujudkan persekitaran yang selamat untuk generasi akan datang.

“Saya berharap kematian kanak-kanak itu tidak sia-sia, dan menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih peka dalam melindungi golongan itu.

“Ada pepatah menyebut sebuah kampung diperlukan untuk membesarkan seorang kanak-kanak. Kanak-kanak mengharapkan dan memerlukan kita ahli masyarakat untuk menjaga keselamatan mereka. Janganlah kita lepas tangan sehingga terjadi penderaan berlarutan dan kehilangan nyawa. 

“Kita semua ada peranan yang amat penting dalam masyarakat, iaitu melindungi kanak-kanak daripada didera. Tanggungjawab kita adalah amat besar. Jangan lupa itu adalah amalan dari Allah Yang Maha Esa,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat bagi menerima persembahan makluman tentang fakta-fakta kes itu di Istana Bukit Serene, di sini semalam.

Turut hadir pada pertemuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Datuk Amir Nasruddin dan Presiden Johor Women’s League (JEWEL), Thanam Visvanathan-Suresh bagi menyampaikan pandangan dari sudut perundangan serta NGO.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat pengsan di rumahnya dekat Senggarang, Batu Pahat.

Hasil siasatan awal mendapati kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya. – UTUSAN

The post Raja Zarith seru rakyat peka kesejahteraan kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *