KUALA LUMPUR: Penerimaan masuk beberapa rakaman audio termasuk perbualan di antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seseorang yang dipanggi ‘Yang Mulia’ (Your Highness) boleh menjejaskan hak bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Tambah peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, tindakan itu juga secara tidak langsung telah melanggar hak privasi bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam terbabit menghujahkan demikian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika membantah permohonan pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion membabitkan Najib.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon untuk memasukkan beberapa rakaman audio yang merupakan sebahagian daripada rakaman-rakaman audio yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada 8 Januari 2020.

Dua rakaman audio tersebut sempat dimainkan di mahkamah sebelum ini sewaktu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-42 dan menyatakan salah seorang individu dalam rakaman itu ‘kedengaran seperti (suara) Najib’.

Sri Ram ketika berhujah sebelum ini menyatakan, mahkamah perlu menerima masuk rakaman audio tersebut kerana ia relevan kepada kes mereka terutamanya dalam menyangkal pembelaan Najib tanpa mengambil kira sama ada rakaman terbabit diperoleh secara salah atau tidak.

Terdahulu ketika berhujah, Muhammad Shafee menyatakan, Mahkamah perlu melihat kesan penerimaan masuk audio-audio tersebut kepada hak-hak tertuduh.

“Penggunaan bukti tersebut hanya memberikan kelebihan kepada pihak pendakwaan dan pihak pembelaan tidak dapat menggunakannya.

“Rakaman-rakaman tersebut juga tidak boleh disahkan ketulenannya kerana pembuat rakaman tersebut atau rakaman asalnya tidak perlu dibuktikan di mahkamah.

“Persoalan yang timbul bukan sahaja membabitkan prosedur (mendapatkan audio) tetapi juga membabitkan persoalan hak seseorang sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, peguam terbabit menyatakan Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 secara tidak langsung telah menghalang kuasa mahkamah untuk membuat keputusan dalam menerima sesuatu bukti.

“Seksyen tersebut menyatakan mahkamah perlu menerima apa sahaja dokumen yang diperoleh oleh SPRM. Mahkamah yang sepatutnya memutuskan untuk menerima masuk sesuatu bukti selepas membuat penilaian,” kata Muhammad Shafee.

Selain itu, peguam itu memberitahu Seksyen 41A itu tidak boleh digunakan secara retrospektif.

“Seksyen 41A berkuat kuasa pada Oktober 2018 namun pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan kejadian yang berlaku di antara 2011 dan 2013.

“Peruntukan ini tidak boleh digunakan secara retrospektif hanya kerana ia memenuhi kehendak prosedur pihak pembelaan,” katanya.

Hujahan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

The post Rakaman audio Najib dan Yang Mulia langgar hak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *