BERA: Rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan tidak diabaikan sebaliknya terus diberikan perhatian oleh kerajaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sentiasa mengambil langkah memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk mereka yang terlibat dalam ekonomi baharu seperti gig terus mendapat pembelaan.

“Jika pada tahun 2020 hanya segelintir gig riders dilindungi kini lebih 260,000 mendapat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, setelah kerajaan turut menyumbang kepada carumannya.

“Selain itu program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan apabila syarikat-syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan operasi atau ditutup,” katanya ketika berucap pada Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, komitmen kerajaan membantu masyarakat yang terjejas dapat dilihat apabila di bawah sistem insurans pekerjaan ditawarkan Perkeso, seramai 188,526 Keluarga Malaysia menerima manfaat faedah kewangan berjumlah RM1 bilion.

Menurutnya, itu belum mengambil kira pampasan dan bantuan perkhidmatan pekerjaan yang turut diberikan kepada individu terbabit.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, program Penjana Human Resources Development Corporation (HRDCorp) berjaya memberikan latihan semula kepada hampir 100,000 Keluarga Malaysia daripada pelbagai latar belakang dengan peruntukan RM500 juta sepanjang 2020 hingga 2021.

“Hakikatnya kesan Covid-19 bukan alasan untuk Keluarga Malaysia khususnya kumpulan B40 mengalah sebaliknya mengambil peluang untuk menambah baik ekonomi keluarga menerusi peluang-peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, impak positif daripada program JaminKerja-Insentif Penggajian yang dilaksanakan oleh Perkeso diteruskan dalam Bajet 2023.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Perkeso sehingga 28 Oktober tahun ini, jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 65,774 orang dengan penglibatan 8,513 majikan.

Sehubungan itu, beliau berharap para majikan memanfaatkan Program JaminKerja-Insentif Penggajian yang menawarkan insentif kewangan kepada majikan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang diambil bekerja. – UTUSAN

The post Rakyat hilang kerja akibat Covid-19 terus dibantu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *