KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa kebanyakan rakyat di negara ini kecewa dengan Kabinet baharu kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau berkata, rakyat kecewa apabila pemimpin yang mempunyai kes di mahkamah masih dilantik memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

“Mereka (rakyat)  sangat terkejut bahawa keadaan sebegini berlaku di saat  rakyat Malaysia memerlukan sebuah  reform politik, reform pentadbiran dan reform kerajaan yang berada di tahap yang paling baik. Tapi, nampaknya kita ke belakang dengan tengok komposisi Kabinet yang ada ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Kesyukuran Sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan selepas lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar mengumumkan senarai 28 menteri menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan. 

Dalam pengumuman tersebut, Anwar melantik dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadilah Yusoff daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, beliau percaya barisan Kabinet baharu ini tidak memberi kesan besar kepada negeri ini dalam aspek pembangunan dan keperluan rakyat.

“Insya-Allah, saya percaya tidak ada kesan yang besar kepada kerajaan negeri Terengganu dan kita kerajaan negeri akan sentiasa berjuang bersama dengan rakyat.

“Kita mengambil sikap menghormati apa yang telah dinyatakan dalam perlembagaan yang telah membuat pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat,” ujarnya. –UTUSAN

The post Rakyat kecewa barisan Kabinet baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *