LONDON: Mahkamah mengesahkah wanita yang dipenggal kepala oleh rakannya sendiri kerana ingin mewarisi hartanya dalam satu kes pembunuhan tragis tahun lalu merupakan pesakit mental.

Pendakwa raya dan saksi memberitahu mahkamah Old Bailey tentang keadaan kesihatan mental mangsa, Mee Kuen Chong yang merupakan rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) sebelum dia dibunuh.

Perunding Psikiatri, Dr. Alyson Callan berkata, wanita berusia 67 tahun itu pernah berkhayal mempunyai hubungan dengan Raja Charles III dan percaya dia boleh berkomunikasi dengan Raja Britain itu melalui laman YouTube.

Mangsa yang juga dikenali sebagai Deborah dikatakan pernah menulis beberapa surat kepada Raja Charles III dan bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.

“Dua minggu terakhir sebelum saya berpindah, mangsa tidak makan atau tidur sebaliknya menghabiskan masa berjam-jam menulis surat kepada perdana menteri ketika itu dan kerajaan,” jelas wanita yang pernah menyewa di rumah mangsa, Lorenia Alvaranqa kepada mahkamah.

Portal berita metro.co.uk melaporkan, pada 1 Mac tahun lalu Chong dilaporkan telah dirujuk oleh Pusat Penilaian Ancaman di Istana Buckingham kepada Pasukan Kesihatan Mental Komuniti Brent.

Callan memberitahu mahkamah, kandungan surat itu tidak mengandungi apa-apa yang membimbangkan tetapi agak pelik dan menunjukkan mangsa mengalami satu lagi episod gangguan mental.

Dua hari sebelum Chong dilaporkan hilang, penghuni rumahnya David Klein memohon penjaga untuk menemani mangsa.

“Mangsa adalah orang yang sangat baik dan membenarkan sesiapa tinggal di rumahnya tanpa membayar sewa, bermakna dia tidak kisah atau takut apabila bertemu dan bercakap dengan orang tidak dikenali,” jelas Klein kepada mahkamah.

Chong didakwa diserang di rumahnya di barat laut London oleh Jemma Mitchell, 38, yang bertindak kejam memenggal kepalanya sebelum mayatnya dibuang di Salcombe di Devon, 15 hari kemudian kerana ingin merampas harta wanita itu melalui satu surat wasiat palsu.

The post Rakyat Malaysia yang dibunuh di UK ada masalah mental appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *