PORT DICKSON: Rakyat tidak susah ketika tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah sebaliknya rakyat ketika ini sedang hidup sengsara apabila  harga barang naik manakala  telur sukar dibeli

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun  berkata, dakwaan kegagalan 22 bulan itu hanyalah modal parti lawan  bagi menutup ketidakmampuan mereka yang gagal mengawal harga khususnya makanan yang terus meningkat.

“Sepanjang 22 bulan kami tidak menyusahkan rakyat, ada telur, harga ayam RM6.50 sekilogram, harga minyak petrol tidak sampai RM3 lebih.

“Tetapi hari kita lihat bahawa mereka kata kami gagal tetapi harga barang naik, sayur, ikan, barang keperluan. Adakah itu dipanggil sebuah kerajaan yang berjaya?,” soal beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Calon Bersama Media di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa aktiviti kempen yang diadakan terutama ceramah adalah hambar dan tidak mendapat sambutan berbanding pilihan raya umum  lalu, calon PH di Parlimen Port Dickson itu berkata, cara berkempen kini telah bertukar ke medium teknologi secara maya.

“Dalam ceramah PH, kita lihat yang mengikut secara ‘live’ (secara langsung) lagi ramai daripada yang datang secara terbuka dan mereka boleh mengikuti kita secara santai di rumah.

“Sekarang media sosial seperti Instagram, TikTok mendapat tempat dalam kalangan anak muda malah golongan warga emas juga tidak ketinggalan mengikuti kempen secara maya,” katanya.

Jelas Aminuddin, bagaimanapun beliau lebih memilih kempen secara konvensional dengan bertemu pengundi ketika program turun padang sama ada di kedai kopi, surau, masjid mahu pun di pasar malam.

“Jadi yang konvensional ini saya gunakan supaya mereka dapat bersua muka sebab saya memang nak berjumpa dengan 105,000 pengundi  di sini tetapi mungkin mustahil sekurang-kurangnya saya dapat bertemu walaupun terhad dan itu komitmen saya,” katanya. – UTUSAN

 

The post Rakyat tidak susah masa PH, susahnya masa kini – Aminuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *