LONDON: Ketika kadar inflasi makanan terus meningkat di United Kingdom (UK), kebanyakan isi rumah mula mengambil pendekatan baharu untuk ‘meneruskan kehidupan’ mereka.

Ketua Pengarah Approved Food, Andy Needham berkata, kebanyakan keluarga di seluruh UK ketika ini akan berjimat cermat selagi boleh memandangkan mereka semakin tidak mampu berdepan dengan kenaikan kos hidup yang mendadak.

Syarikat yang menjual makanan pada harga murah itu memaklumkan, terdapat isi rumah yang mula menjadikan produk makanan hampir tarikh luput sebagai bekalan makanan harian mereka.

Hal ini kerana, makanan yang hampir tarikh luput dijual pada harga lebih murah berbanding produk segar.

“Ketika ini, tiada lagi perasaan malu dalam kalangan masyarakat apabila mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berjimat dan pada masa yang sama, bertungkus-lumus mengisi perut setiap ahli keluarga.

“Permintaan terhadap barang makanan yang hampir tarikh luput semakin tinggi hari demi hari, menyaksikan masyarakat sudah tiada pilihan lain dan hanya mahu memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan,” kata Needham.

Beliau turut memaklumkan, kadar inflasi makanan di negara ini djangka terus meningkat dalam masa beberapa bulan akan datang.

Katanya, dengan membeli makanan yang hampir tarikh luput, masyarakat boleh berjimat sehingga 70 peratus.

Selain itu, Needham mendedahkan permintaan terhadap bank makanan juga semakin meningkat dan bimbang sekiranya trend itu terus memuncak menjelang musim sejuk yang bakal tiba.

“Musim sejuk tahun ini pasti menjadi yang paling sukar untuk masyarakat kerana, selain kenaikan harga bahan bakar, mereka juga terpaksa berdepan kenaikan harga makanan yang merupakan asas dalam kehidupan,” ujarnya.

The post Rakyat UK beli makanan hampir tarikh luput untuk berjimat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *