GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy dinasihatkan ‘cermin diri’ sendiri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengecam Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Ini kerana dakwa Ketua Biro Perpaduan Gerakan, Puvaniten M. Helan Govan, sepanjang menjadi Timbalan Ketua Menteri, tiada pembangunan yang dibawa oleh beliau untuk masyarakat India.

”Apa yang telah dilakukan oleh Ramasamy untuk masyarakat India di Pulau Pinang kerana beliau bercakap seolah-olah seperti jaguh yang telah berjaya menangani masalah kaum India di negeri ini.

“Adakah beliau telah menyediakan satu pelan tindakan khas untuk pembangunan kaum India di negeri ini.

“Lebih dari satu dekad beliau memegang jawatan, apakah beliau berjaya menyelesaikan masalah kaum India di Pulau Pinang selain daripada masalah kuil di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ramasamy berkata, Gerakan ‘berhalusinasi’ dengan membuat kemunculan semula bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

Ramasamy berkata, Gerakan mahu membuat kemunculan politik di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), namun hakikatnya tiada parti politik bukan Melayu yang menyertai gabungan itu secara terhormat.

Menurut Puvaniten, isu-isu berbangkit seperti masalah kemiskinan dan peluang pekerjaan dalam kalangan belia kaum India di Pulau Pinang juga masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.

”Setakat ini, tidak nampak sebarang insiatif perubahan untuk pembangunan kaum India secara keseluruhan di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan yang dikecapi oleh Pulau Pinang pada hari ini adalah hasil daripada usaha Parti Gerakan yang pernah memerintah lebih 30 tahun.

“Buat sesuatu untuk pembangunan kaum India di Pulau Pinang sebelum mengecam parti lain. Saya ingin bertanya apakah pembangunan drastik yang telah dibawa oleh DAP di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

The post Ramasamy perlu cermin diri sendiri – Puvaniten appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *