KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis memuji sistem pengangkutan awam RapidKL yang menyediakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) kerana mempunyai nama yang ‘cukup cantik’.  

Jika diterjemahkan, nama RapidKL merujuk kepada ‘Cepat KL’, bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, ia tidaklah seindah rupanya akibat masalah yang dihadapi pengangkutan awam berkenaan ketika ini. 

“Nama cukup cantik, Rapid KL atau Cepat KL. Tetapi, bukan sahaja tidak cepat, tidak jalan pun. 16 stesen tertutup. Pelanggan tidak dapat pergi kerja. Tidak dapat buat apa pun,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Bermula 9 November lalu, sebanyak 16 stesen LRT Laluan Kelana Jaya ditutup selama tujuh hari sehingga Selasa depan. 

Gangguan perkhidmatan LRT itu melibatkan stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum, Bangsar, KL Sentral, Pasar Seni Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC, dan Ampang Park.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memohon maaf kepada pengguna yang terjejas. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini memaklumkan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka dapat beroperasi tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mendakwa masalah yang berlaku berpunca dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada Barisan Nasional (BN). 

“Mudah janji tetapi tidak mudah tunai janji. Bukan sahaja dengan RapidKL, tetapi juga dengan ekonomi, politik dan sosial. Belanja berbilion, curi pun berbilion duit rakyat, tetapi keretapi tidak jalan,” katanya. 

Beliau berkata, cara rakyat memperbaiki masalah hanya dengan menolak gabungan PN dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Jangan lagi pilih gabungan ini sebagai kerajaan. Pilih Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) yang berpengalaman dalam pentadbiran negara, tidak terlibat dengan rasuah,” katanya. – UTUSAN

The post RapidKL: Nama cantik tapi tidak cepat, tidak jalan – Tun M appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *