ALOR SETAR: Pas yakin mampu kembali mendapatkan Parlimen Pokok Sena yang dianggap sebagai kerusi tradisi parti tersebut sejak pilihan raya umum (PRU) dilaksanakan di negara ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) di situ, Datuk Ahmad Yahaya berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kekuatan dimiliki Pas terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada serta Bukit Pinang yang dikuasai mereka pada PRU-14.

Malah Ketua Dewan Ulama Pas Pusat yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, gelombang yang menyokong PH pada PRU-14 seakan-akan sudah berubah arah dan memberi isyarat sokongan kepada PN.

“Walaupun ada yang menganggap saya melawan calon heavyweight Pakatan Harapan (PH), saya berasa tenang. Ketenangan itu hadir melalui keyakinan setelah melihat sokongan serta makluman rakyat terhadap kami.

“Kita tidak menafikan ketokohan, pengalaman serta tempoh lama khidmat wakil rakyat penyandang di situ namun angin perubahan di Pokok Sena sedang dirasai malah kian bertiup kencang dari hari ke hari.

“Sebab itu kita letakkan keyakinan mampu kembalikan Pokok Sena kepada Pas. Lagipun kerusi Parlimen Pokok Sena itu lebih banyak berada di tangan Pas berbanding parti-parti lain sejak PRU diadakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, di sini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar bakal menjadi taruhan Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahan kerusi tersebut, manakala BN membariskan muka baharu, Noran Zamini Jamaludin.

Pada PRU14, Mahfuz menerima 28,959 undi bagi menewaskan calon Pas, Radhi Mat Din yang memperoleh 23,401 undi serta calon BN, Datuk Said Ali Syed Rastan yang mendapat 18,390 undi.

Ahmad Yahaya berkata, kajian lapangan da culaan dijalankan di kawasan itu sebelum ini tampak turut memihak kepada PN.

“Apa yang perlu dilakukan kini adalah merebut undi daripada anak muda yang kali pertama mengundi. Begitu pun, cabaran itu bukan hanya kepada Pas sahaja malah turut bakal dihadapi semua parti bertanding.

“Namun kita ada keyakinan terhadap golongan ini kerana bersandarkan kajian sikap serta pendirian mereka, golongan ini dilihat amat bencikan rasuah serta prihatin terhadap apa yang berlaku dalam negara. Atas dasar itu mereka dijangka dapat membuat penilaian bersandarkan kepada pengalaman berada di bawah pemerintahan BN yang sarat dengan individu terlibat rasuah serta pemerintahan 22 bulan di bawah PH,” katanya.n – UTUSAN

The post Rasa tenang, boleh rampas Pokok Sena – Calon Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *