KEPALA BATAS: Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Siti Mastura Muhammad mencipta kejutan terbesar di kerusi Parlimen Kepala Batas apabila menewaskan calon pilihan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan majoriti 2,867 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pusat penjumlahan undi di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Zulkifli Rashid kira-kira pukul 1.06 minit pagi.

Siti Mastura yang daripada Pas memperoleh 28,604 undi manakala Reezal Merican pula dengan 25,737 undi.

Dua lagi calon iaitu Danial Abdul Majeed (Muda – PH) serta Hamidi Abu Hassan (Pejuang) masing-masing memperoleh 14,214 dan 747 undi.

Parlimen Kepala Batas yang juga kubu kuat BN sejak lebih empat dekad lalu itu sebelum ini merupakan antara kawasan Parlimen BN yang terselamat daripada ‘tsunami politik’ yang melanda negara pada 2018.

Dalam pada itu, Siti Mastura ketika ditemui pemberita bersyukur atas kemenangan tersebut dan berharap agar dapat membuka ‘buku baharu’ selain menambah baik apa yang terdapat di Kepala Batas.

“Terima kasih kepada semua yang mengundi saya dan saya doakan agar Kepala Batas menjadi tempat yang terbaik untuk semua,” katanya.

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, Siti Mastura tewas kepada lawan yang sama iaitu Reezal Merican apabila hanya memperoleh 12,120 undi berbanding 22,459 undi yang diperoleh oleh bekas Menteri Kabinet berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi calon iaitu Dr. Zaidi Zakaria (PKR) pula memperoleh 17,723 undi dalam saingan yang melibatkan tiga penjuru itu. – UTUSAN

The post [RASMI] PRU15: Siti Mastura cipta sejarah tumbangkan BN di Kepala Batas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *