KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mempertahan kerusi Parlimen Pandan menerusi kemenangan calonnya, Rafizi Ramli dengan majoriti 48,296 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Rafizi yang meraih 74,002 undi menewaskan pencabarnya, Muhammad Farique Zubir Albakri (Perikatan Nasional) yang mendapat 25,706 undi diikuti calon Barisan Nasional (BN), Datuk Leong Kok Wee (11,664 undi).

Sementara itu, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Tan Sri Ong Tee Keat dan Gerakan Tanah Air, Nadia Hanafiah pula sekadar mendapat 3,323 undi dan 961 undi.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pandan, Julaiha Jamaludin kira-kira pukul 11.20 malam ini.

Katanya, jumlah kertas undi ditolak ialah 606 undi manakala peratus pengundian 78.31 peratus.

Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden PKR bagaimanapun tidak hadir di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU15 di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini.

Beliau difahamkan berada di Dorset Subang bersama kepemimpinan tertinggi PKR.

Kemenangan PH di kubu kuat mereka itu merupakan yang ketiga berturut-turut sejak PRU13.

Rafizi merupakan penyandang Parlimen Pandan selepas meraih 48,183 undi pada PRU13.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Pandan dimenangi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 64,733 undi sekali gus mengenepikan empat calon lain.

Selain Rafizi, Tee Keat juga pernah menyandang kerusi Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013. – UTUSAN

 

The post [RASMI] Rafizi menang, Pandan kekal milik PH appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *