JAKARTA: Ratusan ribu penduduk di Jakarta dilaporkan masih membuang air besar secara terbuka di merata tempat.

Perkara itu didedahkan oleh anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jakarta dari Parti Gerindra, Thopaz Nugraha Syamsul ketika menyampaikan pandangan umum mengenai Rancangan Anggaran Pendapatan dan Belanja Daerah (APBD), lapor CNN Indonesia.

“Berdasarkan data dari Jabatan Kesihatan Jakarta pada tahun lalu, terdapat sekurang-kurangnya 770,000 penduduk di bandar raya ini masih mengamalkan pembuangan air besar secara sembarangan atau ‘open defacation’,” katanya.

Sehubungan itu, Thopaz memaklumkan, Gerindra menggesa supaya kerajaan menyediakan tangki septik bagi kawasan yang mempunyai penduduk padat.

Selain itu, beliau menyatakan, terdapat 187,183 ketua isi rumah di Jakarta membuang air besar merata dan 36,303 penghuni tidak mempunyai kemudahan tandas.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kesihatan Jakarta, Widyastuti memaklumkan pihaknya akan memeriksa semua maklumat yang didedahkan oleh Thopaz.

Katanya, amalan membuang lampin pakai buang bayi di merata kawasan juga tergolong dalam aktiviti membuang air besar secara sembarangan.

“Beberapa jabatan lain juga akan bekerjasama dengan jabatan kesihatan bagi memastikan keadaan di seluruh Jakarta bersih,” ujarnya.

The post Ratusan ribu penduduk Jakarta suka buang air besar sembarangan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *