SAUDARA PENGARANG,

KAMI sebagai waris kepada anak-anak di institusi pengajian tinggi (IPT) merayu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memberi pelepasan cuti awal kepada pelajar bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bersama keluarga.

Mengikut takwim yang dikeluarkan oleh pihak universiti, dicatatkan cuti perayaan itu kali ini akan bermula pada Sabtu 22 April ini. Memandangkan cuti Sabtu, maka pastinya anak-anak kami terpaksa menghadiri kuliah sama ada pada hari Khamis dan Jumaat.

Mahasiswa di Kuala Lumpur terutamanya akan menghadapi masalah untuk membuat tempahan bagi membeli tiket perjalanan kerana masih terikat dengan waktu kuliah.

Oleh itu, kami merayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi perhatian dan kelonggaran bagi membenarkan pelajar untuk pulang awal bagi menyambut perayaan pada tahun ini bersama keluarga.

Difahamkan, pada waktu sekarang tempahan tiket untuk pulang beraya dengan kenderaan awam seperti bas, kereta api dan kapal terbang hampir habis dan semakin meningkat harganya.

Bagi memberi ketenangan kepada keluarga dan pelajar, pengumuman awal mengenai penangguhan atau pembatalan kelas haruslah dimaklumkan awal supaya kami dapat membuat tempahan awal tiket untuk pulang beraya nanti.

Namun, sekiranya pihak universiti menyediakan kemudahan bas untuk pulang beraya pada tahun ini, pastinya memberi kelegaan kepada waris.

Cuma diharapkan tarikh perjalanan bas-bas yang disediakan pihak universiti dapat diawalkan kerana kami bimbang akan berlaku masalah kesesakan di lebuh raya jika pengangkutan itu bergerak pada saat-saat akhir. – UTUSAN

WARIS UTARA, Kedah

The post Rayu cuti awal untuk mahasiswa berhari raya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *