KUALA SELANGOR: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz reda dengan keputusan yang bakal diterimanya pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Menurutnya, beliau sudah melakukan usaha sehabis baik sepanjang tempoh berkempen pilihan raya umum kali ini, yang berakhir semalam.

“Harapan saya dapat dipilih oleh pengundi Kuala Selangor menjadi wakil rakyat di sini supaya dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka.

“Apapun, sesiapa (calon) yang menang atau kalah, harus menerima keputusan pilihan (majoriti pengundi),” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di sini, hari ini.

Beliau bersama isterinya, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad tiba di pusat pengundian itu pukul 8.15 pagi.

Tengku Zafrul memaklumkan, pada mulanya beliau mahu beratur seperti orang awam lain untuk mengundi, namun petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memintanya mengundi segera kerana tidak mahu menganggu proses pengundian.

“Ramai pengundi yang nak ambil gambar dengan saya dan melihat situasi itu, petugas SPR menasihatkan kepada saya tidak perlu beratur.

“Apapun, saya melihat ramai yang datang mengundi awal dan harap jumlah yang datang mengundi terus ramai sehingga petang,” ujarnya. – UTUSAN

The post Reda dengan keputusan pengundi – Tengku Zafrul appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *