KEPALA BATAS: Kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan dua daripada calon yang bertanding pernah ‘berentap’ untuk kerusi sama pada pilihan raya umum sebelum ini.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya P041 Kepala Batas, Zulkifli Rashid sebaik sahaja proses penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, selesai tepat pukul 10 pagi.

Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang dicalonkan buat kali ketiga berturut-turut akan turun mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) sejak dua penggal lalu.

Buat kali kedua berturut-turut juga, beliau akan dicabar calon Pas yang kini merupakan Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) negeri, Dr. Siti Mastura Muhammad.

Pencabar lain yang mengesahkan pencalonan mereka untuk bertanding kerusi tersebut ialah seorang jurutera berusia 26 tahun dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), Muhammad Danial Abdul Majeed.

Turut disahkan bertanding ialah Presiden parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) negeri, Hamidi Abu Hassan dari parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam pada itu, proses penamaan calon di kerusi itu hari ini berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang provokasi yang dicetuskan oleh kumpulan penyokong masing-masing.

Pada PRU14, Reezal Merican berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,736 undi selepas memperoleh 22,459 undi menewaskan Siti Mastura dan seorang lagi pencabar iaitu Dr. Zaidi Zakaria (PKR) dengan masing-masing sebanyak 12,120 dan 17,723 undi. – UTUSAN

 

The post Reezal Merican cuba pertahan Kepala Batas dalam saingan 4 penjuru appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *