TAMPIN: Seorang remaja maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka secara berasingan merempuh sekumpulan lembu yang berada di atas jalan raya dalam kejadian di Jalan Batang Rokan-Bukit Rokan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian berkenaan, Muhamad Idzham Hakimi Amin, 16, dari Felda Bukit Rokan di sini disahkan meninggal dunia oleh pasukan  paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, tiga ekor lembu termasuk dua ekor anak lembu turut mati di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.40 malam membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi remaja berusia 16 tahun dari arah Gemencheh menghala ke Bukit Rokan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, terdapat sekumpulan lembu di atas jalan dan kedua-dua motosikal tidak dapat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut dan jatuh di atas jalan.

“Akibat kemalangan itu menyebabkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi penunggang di bawa ke Klinik Kesihatan Gemencheh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ujar Anuwal lagi, mayat penunggang motosikal dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu tampil ke Balai Polis Trafik,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi talian 06-4412502 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan. 

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN

The post Remaja maut, motosikal langgar sekumpulan lembu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *