SAUDARA PENGARANG,

MARI kita mulakan revolusi satu jari untuk memilih pemimpin yang tidak mengamalkan rasuah.

Perubahan sama ada politik atau ekonomi negara tidak akan berlaku sekiranya rakyat mengabaikan pilihan raya.

Ini kerana pilihan raya adalah faktor penentu dalam kepimpinan sesebuah negara demokrasi.

Konsep pilihan raya yang berasal dari Greece memainkan peranan penting dalam politik. Oleh kerana itu, penting untuk rakyat memilih pemimpin dengan penuh kesedaran.

Hak mengundi diberikan kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas dalam perlembagaan negara. Maka, ia adalah hak asasi setiap rakyat.

Jika tiada pilihan raya, orang berkuasa akan terus berkuasa. Pemerintahan keluarga, diktator dan rejim lain yang tidak teratur menyebabkan ketidakadilan kepada rakyat dan negara.

Pembangunan negara bergantung kepada revolusi satu jari. Malah pada hari ini, rakyat menderita disebabkan acuan pemerintahan yang salah.

Undi adalah satu-satunya senjata untuk mengubah perkara ini dan jika semua rakyat keluar mengundi pada 19 November nanti, maka mereka boleh membuat perubahan besar.

Hak untuk mengundi adalah hak demokrasi terbesar yang kita ada dan perlu digunakan dengan betul.

Jadi, pilihlah calon berkeperibadian jujur, mengambil berat tentang rakyat dan negara.  Kita harus menggunakan pilihan raya ini untuk memilih pemimpin negara.

Masa depan negara terletak di tangan kerajaan yang bakal dibentuk nanti. Kita mahu melihat Malaysia maju dari segi undang-undang, keselamatan, ekonomi, pendidikan, kebajikan masyarakat dan lain-lain.

Jika kita mengabaikan pilihan raya kali ini, maka perubahan seperti yang diharapkan tidak akan berlaku. -UTUSAN
N.V. SUBBAROW
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

The post Revolusi satu jari pilih pemimpin tidak rasuah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *