IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut meriah rakyat apabila pertama kali ‘pulang’ ke Tambun hari ini selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri ke-10.

Pada program tinjauan mesra bersama warga Parlimen Tambun di Pasar Tanjung Rambutan di sini hari ini, Anwar disambut ribuan rakyat yang teruja untuk bertemu beliau.

Anwar tiba di lokasi program pada kira- kira pukul 12.15 tengah hari dan disambut oleh orang ramai sehingga menyebabkan keadaan bersesak.

Perdana Menteri kemudiannya menuju medan selera dan kawasan pasar untuk beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai.

Laungan ‘reformasi’ mengiringi sesi tinjauan mesra Perdana Menteri yang meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama rakyat di Pasar Tanjung Rambutan.

Program itu bagi menzahirkan penghargaan kepada pengundi dan penyokong Anwar.

Perdana Menteri kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh di Taman Jati, Meru di sini dan  menyertai kenduri rakyat di masjid tersebut. 

Terdahulu, Anwar menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini.

Beliau tiba pada pukul 10.50.pagi dan selesai menghadap pada pukul 12 tengah hari. – UTUSAN

The post Ribuan rakyat Tambun bersesak teruja sambut kepulangan Anwar  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *