SEPANG: Sebagaimana dijangkakan pelbagai pihak, Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd. Harun ‘melarikan’ dirinya untuk bertanding pula di Parlimen Sepang.

Perkara itu diumumkan sendiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang 2022 di Dataran Sadiman, Bukit Changgang malam tadi.

“Pada malam ini sahih, inilah calon kita,” katanya yang juga melancarkan Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) PN Parlimen Sepang dengan dihadiri kira-kira 3,000 penyokong blok tersebut.

Turut menyaksikan acara itu ialah Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali.

Pengumuman itu namun tidak begitu mengejutkan hadirin kerana Ketua Srikandi Bersatu tersebut memang dilaporkan media kerap mengadakan pelbagai aktiviti di kawasan berkenaan.

Beliau sebelum itu sering menafikan bakal menjadi calon di kerusi tersebut dengan mendakwa program disertainya atas kapasiti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Bagaimanapun spekulasi mengenai dirinya itu hangat semula selepas beliau mengadakan sesi pertemuan dengan jentera Bersatu Sepang di Paya Indah Wetland pada 23 Oktober lalu.

“Saya berharap Sepang akan menyumbang kerusi kepada PN dan merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang sokong saya,” katanya kepada pemberita selepas program itu.

Rina, 49, merupakan penyandang Ahli Parlimen Titiwangsa setelah menang ketika PRU14 pada 2018 lalu atas tiket Pakatan Harapan (PH) dengan menggunakan logo PKR.

Tindakan beliau tidak bertanding mempertahan kerusi berkenaan untuk penggal kedua susulan desas-desus PN dijangka kalah di kawasan tersebut kepada Barisan Nasional (BN).

Dengan pengumuman tersebut, beliau dijangka berdepan Ketua Wanita PH, Raj Muni Aiman Athirah dan Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim. – UTUSAN

The post Rina sah ‘lari’ dari Titiwangsa ke Sepang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *