SEPANG: Kelazimannya, produk baharu dilancarkan di hotel, ekspo atau tapak pameran, namun lain pula ceritanya di sini apabila dilakukan terus di markas Barisan Nasional (BN).

Lebih unik, produk berkenaan dilancarkan sebelum acara ceramah calon parti itu untuk Parlimen Sepang, Anuar Basiran ketika program Santai Komuniti Kampung dan Anak Muda, malah dilancarkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang juga antara penceramah BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Produk kerepek itu diusahakan secara bersama oleh dua pelakon tempatan, Rita Rudaini dan Mustaqim Bahadon yang kebetulan mereka pula berasal dari negeri yang sama iaitu Perlis. 

Acara yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Meranti di sini malam tadi itu turut dimeriahkan persembahan nyanyian Ayu Damit dan Acong Sweetchild.

Meskipun hujan lebat turun sehingga menyebabkan program itu bermula agak lewat, namun hampir 100 penyokong BN sekitar PDM tersebut tetap tidak berganjak memeriahkan acara. 

Bagaimanapun, Rita tidak dapat datang kerana ada urusan di tempat lain tetapi kemunculan Mustaqim menyaksikan ramai yang hadir mengambil peluang berswafoto dengan aktor itu.

Artis-artis yang terlibat juga sempat berpesan dengan mengajak penduduk supaya tidak lupa mengundi BN pada PRU15 demi memastikan negara ini akan terus kekal stabil dan makmur.

Mereka turut mengingatkan masyarakat agar tidak salah ketika memangkah kertas pada hari pengundian kelak kerana silap mengundi, rakyat akan menanggung kesukaran selepas ini. 

Mohd. Irwan Serigar ketika berucap juga memuji sifat keusahawanan golongan anak seni semakin berani menceburi bidang bisnes yang banyak cabaran meskipun cuma produk kecil. – UTUSAN

The post Rita Rudaini, Mustaqim pilih markas BN Sepang lancar produk appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *