JOHOR BAHRU: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM41 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan Tebrau dan Plentong bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan tersebut. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan benteng, pintu air, pam dan menaik taraf sistem perparitan dalam kawasan Kampung Bunga Ros, Kampung Kangkar Tebrau serta kawasan sekitar. 

Beliau berkata, kerja-kerja tersebut  akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan. 

“Usaha membina tebatan banjir di kawasan Tebrau dan Plentong ini diyakini dapat mengurangkan risiko berlaku banjir kilat pada masa akan datang.

“Pihak kerajaan negeri akan sentiasa berusaha dan bersedia menghadapi risiko banjir akibat hujan lebat melebihi 30 milimeter dan pertembungan dengan air pasang besar di kawasan Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kelmarin, Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai melawat Kampung Pasir dan Kampung Paya Kenangan, Tebrau bagi meninjau kawasan yang sering dilanda banjir akibat hujan lebat dan air pasang besar.  

Beliau berkata, kawasan rendah yang berada bersebelahan Sungai Tebrau itu adalah salah satu kawasan ‘hotspot’ banjir dan telah berlaku beberapa kali banjir kilat pada tahun ini. 

“Setakat ini, sebanyak RM500,000 telah dibelanjakan bagi menaik taraf penggantian pembentung dan longkang serta naik taraf perparitan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

“Kerja-kerja ini adalah bagi mengurangkan risiko banjir kepada penduduk dan sekolah yang berada berhampiran dengan sungai tersebut,” ujarnya. –UTUSAN

 

The post RM41 juta laksana projek tebatan banjir di Tebrau, Plentong appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *