SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sehingga RM50 juta sebagai dana bantuan khususnya untuk Johor yang paling teruk dilanda banjir ketika ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu disediakan dengan segera bagi memastikan memenuhi keperluan mendesak ketika mangsa menghadapi banjir.

Katanya, peruntukan itu turut disediakan bagi tujuan pelebaran sungai.

“RM50 juta segera untuk Johor, sungai, bantu mangsa banjir dan apa-apa keperluan yang segera,” katanya kepada pemberita selepas selesai solat Jumaat di Masjid Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dan tetamu kenamaan menikmati makan tengah hari di Medan Selera Sri Serdang.

Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan dan memantau perkembangan semasa serta bertemu mangsa banjir dalam masa terdekat.

“Beberapa menteri turun hari ini dan esok sebahagian akan turun dan saya (bertemu mangsa) akan diatur dalam masa singkat,” katanya.

Semalam, kerajaan menyalurkan peruntukan  sebanyak RM10 juta bagi membeli peralatan dan bantuan tambahan untuk membantu mangsa banjir di Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut diberikan untuk menampung keperluan di semua daerah yang terjejas dan jumlah itu akan ditambah sekiranya tidak mencukupi. 

Setakat pukul 3 petang ini, seramai 35,226 mangsa melibatkan 9,941 keluarga di lima negeri terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat dilanda banjir.

Johor terus mencatatkan jumlah tertinggi dengan 31,903 mangsa diikuti Pahang (2,183), Negeri Sembilan (938), Melaka (188) dan Sarawak (14 mangsa). – UTUSAN

 

The post RM50 juta untuk bantuan banjir – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *