DUBAI: Orang ramai yang mengunjungi Muzium Masa Depan di bandar raya ini kini berpeluang melihat dan disambut oleh sebuah robot humanoid yang paling canggih di dunia.

Lapor Arab News, robot dinamakan Ameca, dilengkapi dengan teknologi kepintaran buatan (AI) dan dibangunkan oleh syarikat Engineered Arts yang berpangkalan di England.

Menurut pihak pengurusan Muzium Masa Depan, Ameca merupakan platform terbaik untuk interaksi antara manusia dan robot.

“Pergerakan seperti manusia dan ekspresi muka yang canggih membolehkan Ameca berinteraksi dengan sesiapa sahaja,” kata pihak pengurusan muzium di laman sesawangnya.

Baru-baru ini, Muzium Masa Depan memperkenalkan Ameca sebagai kakitangan baharu yang menyertai muzium itu pada hari pertama kerjanya.

Rakaman video itu dimuat naik oleh pihak pengurusan muzium di laman Instagram.

Dalam video tersebut, Ameca secara berseloroh menyatakan kepada rakan sekerjanya, ‘Jangan risau, saya tidak akan menggantikan tempat anda.’

Dibuka sejak Februari lalu, Muzium Masa Depan dianggap menjadi antara bangunan paling cantik di dunia.

Muzium tujuh tingkat itu dihiasi dengan dekorasi hiasan warna perak dengan tulisan kaligrafi dari pemerintah Dubai.

Ketika pelancarannya, penganjur memaklumkan muzium itu akan bertindak sebagai platform bagi inovator, saintis dan peneraju industri berkongsi visi masa depan mereka.

The post Robot humanoid tercanggih dunia, Ameca dipamerkan di Dubai appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *