AMPANG :  Calon kerusi Parlimen Ampang dari Pakatan Harapan (PH), Rodizah Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau gagal berkhidmat sepanjang menjadi Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga.

Katanya, aduan berkaitan kesukaran penduduk Shah Alam berjumpa dengannya hanya di pusat khidmat sahaja kerana beliau lebih meluangkan masa untuk turun padang bertemu rakyat.

“Selaku ADUN, saya pastinya lebih rapat dengan rakyat. Kalau ikutkan susah bertemu saya di pusat khidmat kerana saya hanya boleh bagi masa seminggu sekali sahaja. Selebihnya lebih suka turun padang bertemu rakyat,” katanya ketika selesai sesi bertemu pengundi di Ampang Campuran, Jalan Ikan Jelawat, di sini hari ini.

Rodziah yang juga Ketua Wanita PKR Selangor itu berkata, tindakan berjumpa wakil rakyat di pusat khidmat adalah budaya lama sebaliknya beliau lebih gemar berdialog dengan rakyat menerusi program-program yang dianjurkan.

“Ramai daripada mereka masih memikirkan nak jumpa wakil rakyat mesti perlu pergi ke pusat khidmat. Jadi itu budaya lama. Saya dah amalkan sekian lama budaya kita berkomunikasi dan dialog bersama penduduk, tinggal lagi mereka kena datang ke program-program yang kita buat sahaja,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan dakwaan melarikan diri ke kerusi Parlimen Ampang selepas gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN Batu Tiga.

“Kalau saya gagal tidaklah saya pegang tiga penggal. Sebenarnya saya rasa apa yang dimohon kepada saya sekarang terutamanya parti saya sendiri, mereka ingin melihat saya berkhidmat di peringkat Putrajaya pula.

“Tiga penggal cukup berikan saya pengalaman dalam konteks pentadbiran. Saya bukan orang yang berkhidmat tetapi tidak berfungsi. Saya menghargai pandangan pihak parti. Kini, sudah sampai masa untuk saya berkhidmat kepada warga Ampang. Lebih-lebih lagi mereka yang teraniaya dengan lompatnya wakil rakyat itu ke tempat lain,” ujarnya.

Rodziah akan merebut kerusi Parlimen Ampang bersama lapan lagi calon termasuk penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Zuraida yang ketika itu mewakili PKR menang dengan undi sebanyak 54,307 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Leong Kim Soon (12,351 undi) dan calon Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598) sementara Tan Hua Meng dari Parti Rakyat Malaysia hanya memperoleh 294 undi sekali gus hilang deposit. – UTUSAN

 

The post Rodziah nafi gagal berkhidmat di Batu Tiga appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *