BANGI: Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan terhadap seorang penganggur yang mengaku bersalah merompak seorang doktor gigi wanita dan pembantunya di sebuah klinik gigi, awal bulan ini.

Video rompakan bersenjatakan parang itu tular dalam media sosial dan menimbulkan kecaman netizen.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Hakim Effandi Nazila Abdullah memerintahkan hukuman yang dijatuhkan terhadap Muhammad Hafiz Ghazali, 32, berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkapan pada 9 November lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia dipenjara empat tahun dan satu sebatan manakala pertuduhan kedua, penjara lima tahun dan sebatan sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Hafiz didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Ainun Najah Mohd. Banuri, 26, (doktor gigi) dan Nur Syazwani Noor Hisam, 24, (pembantu klinik) dengan mengacukan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melarikan komputer riba jenis Apple Macbook Air dan telefon bimbit jenis Iphone 12 milik kedua-dua mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di klinik pergigian tersebut di Bandar Seri Putra di sini, pukul 1 petang pada 7 November lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Muhammad Hafiz didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh menggunakan senjata yang membahayakan.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh serius maka pihak pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira kepentingan masyarakat sebelum menjatuhkan hukuman,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung dua anak selain memohon kesemua hukuman berjalan serentak.

Sementara pada itu dalam prosiding sama, rakan tertuduh, Mohd. Hazani Mohd. Yusof, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan serupa.

Dia juga turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan, merompak dengan melarikan rantai leher milik Norjannah Hashim, 29, di lokasi, tarikh dan masa sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Hazani diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan kes.

Pada 9 November lalu, media melaporkan seorang doktor gigi wanita dan tiga pembantunya disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah klinik di Bandar Seri Putra, Bangi di sini.

Kejadian rompakan itu kemudian tular di media sosial yang mana seorang wanita dilihat bergelut dengan dua perompak itu untuk menyelamatkan barangan peribadinya. – UTUSAN

The post Rompak doktor gigi, pembantu klinik: Penganggur dipenjara lima tahun, dua sebatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *