MELAKA: Gara-gara melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang pelacur warga Vietnam, seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Mursyidien Azrai Nawi, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau dan melarikan wang tunai berjumlah RM1,800 bersama dua telefon bimbit berjenama milik wanita tersebut.  

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.50 petang di sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah pada 31 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 397 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh. 

Bagaimanapun, peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya anggota berpangkat rendah dan menanggung ibu bapa yang uzur. 

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000  dan menetapkan 14 Februari depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

The post Rompak pelacur Vietnam, anggota tentera didakwa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *