LONDON: Cristiano Ronaldo membuat keputusan untuk ­terus bermain mewakili Portugal sekurang-kurangnya sehingga Kejohanan Eropah (Euro) 2024, iaitu ketika usianya menginjak 39 tahun.

Menurut portal sukan Portugal, CM Journal, bekas penyerang Manchester United itu sudah bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Portugal bagi menyatakan hasratnya untuk terus bermain mewakili Os Navegadores.

Pemain sensasi itu jelas tidak berniat untuk bersara dan ingin meneruskan perjalanannya seperti dinyatakan sebelum ini dengan beraksi dalam Euro 2024 di Jerman.

Pemilik enam anugerah Ballon d’Or itu sebelum ini memberi bayangan bersara melalui hantaran di akaun media sosialnya selepas dikalahkan Maghribi pada suku akhir Piala Dunia 2022.

Biarpun hilang tempat dalam kesebelasan utama ketika menentang Switzerland (pusingan 16 akhir) dan Maghribi pada Piala Dunia 2022, Ronaldo percaya dia masih mampu memberi sumbangan kepada negaranya.

Sementara itu, akhbar Pe­rancis, L’Equipe mendedahkan, Ronaldo dalam buku biografi­nya pernah memberitahu, dia akan bersara jika bintang Argentina, Lionel Messi memenangi anugerah Ballon d’Or pada 2019.

Messi tidak hanya memena­ngi anugerah berprestij itu pada tahun berkenaan, malah dua tahun kemudian, sekali gus me­nyaksikan dia memenangi tujuh trofi keseluruhan.

Tahun ini, ketika Ronaldo masih gagal menjulang Piala Dunia, Messi membawa Argentina melangkah ke final di Qatar dan mampu menghadiahkan kejuaraan pertama buat negaranya dalam perlawanan akhir, Ahad ini.

Ketika peminat menjangkakan Ronaldo akan bersara, bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu sebaliknya memi­lih untuk terus menyarung jersi Portugal pada ketika Messi sudah pun mengumumkan Piala Dunia kali ini adalah penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan. – AGENSI

The post Ronaldo ketuai Portugal sehingga Euro 2024 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *