KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa penyandang kerusi Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli tidak memaklumkan yang bapa dan adik kandungnya adalah pemegang saham dalam syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) semasa pembentangan untuk proses pemilihan operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengurus Keselamatan Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM), Mohamad Kasli Sulaiman Darja, 56, berkata, Rozman tidak memaklumkan perkara itu dalam dua mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL).

Mesyuarat dan pembentangan itu diadakan di Hotel Hilton Sentral pada 11 Disember 2017 dan di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 12 Disember 2019.

Katanya, Rozman tidak memberitahu yang dua nama, Isli Siput dan Tony Noolan S. Isli adalah bapa dan adik kandung seperti dinyatakan dalam dokumen butiran makluman pemilikan syarikat, pemegang saham, maklumat kewangan, pengalaman dan cadangan teknikal syarikat LLPM.

Saksi pendakwaan ke-7 itu bagaimanapun berkata, LLPM gagal dilantik menjadi operator terminal pelabuhan walaupun telah membentangkannya dua kali pada tahun tersebut.

Disebabkan tiada keputusan untuk perolehan tender pada 2017, LLPM kemudian dibenarkan meneruskan operasi Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan secara bulanan dan telah menandatangani perjanjian sewaan tanah dengan LPL.

Jelasnya, beliau mengetahui bapa dan adik kandung Rozman antara pemegang saham syarikat LLPM, namun, mereka tidak pernah terlibat dalam urusan pentadbiran, operasi dan kewangan syarikat sepanjang Mohamad Kasli bekerja dengan syarikat itu.

Beliau berkata demikian semasa membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Rozina Ayob pada perbicaraan Rozman yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan, iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang mana bapa dan adik lelakinya didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd. Azmi dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rozman selaku pemohon. Rozman hadir di mahkamah dan duduk di kandang tertuduh.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-6 juga bekas Pengurus Besar Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd., Abd. Gani Paijan, 71, turut memberitahu bahawa Rozman tidak pernah mengisytihar yang bapa dan adiknya merupakan pemegang saham dalam syarikat LLPM sepanjang sesi pembentangan kedua.

Katanya, pembentangan itu diadakan di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 12 Disember 2019 manakala Rozman turut hadir sepanjang sesi pembentangan cadangan teknikal berkenaan. 

“Tetapi, LLPM tidak terpilih sebagai operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan dan perjanjian yang ditandatangani dengan LPL sebelum ini ditamatkan manakala syarikat ini diberi notis penamatan perjanjian sehingga 31 Mac 2020,” katanya.

Rozman, 57, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan kontrak bagi syarikat LLPM yang mana bapa dan adiknya didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Tertuduh yang juga Ketua Whip Parti Warisan (Warisan) didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018 di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya.

Rozman didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Perbicaraan diteruskan 16 November hadapan. – UTUSAN

The post Rozman Isli tidak maklum pemegang saham LLPM adalah ayah, adik kandung – Saksi  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *