OTTAWA: Kawasan Crystal Beach di Kanada dilanda ribut salji kuat sejak minggu lalu menyebabkan beberapa rumah di kawasan berkenaan diselaputi ais tebal bagaikan filem Disney, Frozen.

Komuniti yang tinggal di tepi tasik di Fort Erie, Ontario yang terletak berhampiran dengan sempadan bandar New York, Buffalo berdepan kesukaran apabila kristal ais menyelimuti bumbung, tingkap, bangsal dan kereta mereka.

Pegawai wilayah telah mengeluarkan amaran cuaca berikutan angin sejuk yang kuat dan timbunan salji.

Hampir 15,000 penduduk Fort Erie terputus bekalan elektrik hujung minggu lalu dan hampir 4,000 keluarga masih berdepan masalah serupa apabila bekalan tenaga di kawasan mereka belum dapat dipulihkan.

Tiupan angin terbukti sangat kuat sehingga menolak air ke deretan bangunan yang terletak di tepi tasik sebelum bertukar menjadi ais.

“Angin kuat membawa ombak besar air tasik sekitar lima meter dan kemudian air itu membeku di bahagian bumbung hingga ke bawah rumah.

“Anda boleh bayangkan isipadu dan kekuatan air yang mengalir ke atas dinding dan kemudian membeku serta-merta. Ia benar-benar luar biasa,” kata seorang penduduk, Derek Tupling kepada CTV News Toronto.

Tupling berkata, ais yang melekat di bahagian belakang rumahnya melebihi 300 sentimeter, sekaligus meningkatkan kebimbangan takungan air dan banjir jika ia mencair.

“Kami sudah lama berada di sini dan tidak pernah melihat keadaan cuaca seteruk ini.

“Kerosakan yang berlaku dan kemusnahan di bahagian belakang rumah kami berada sekarang adalah sesuatu yang sukar dipercayai,” tambahnya.

The post Rumah di Crystal Beach ‘beku’ dibadai ribut salji appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *