LONDON: Rumah paling sunyi dan terpencil di Britain dengan hanya dikelilingi tiga gunung besar serta tanah lapang seluas lebih 1,214 hektar bakal dilelong minggu ini pada harga lebih 10 juta pound (RM54 juta).

Menurut Daily Mail, kediaman diberi nama Skiddaw House yang terletak di pegunungan berhampiran Keswick di Cumbria itu berada pada ketinggian 457 meter dan tidak boleh diakses menggunakan kereta atau kenderaan lain.

Laluan berjalan kaki paling cepat ke kampung Threlkeld masih perlu mengambil masa kira-kira satu jam 20 minit sementara kedai serta pusat hiburan terdekat pula terletak kira-kira 9 kilometer dari rumah berkenaan.

Hartanah itu mulanya dipasarkan pada 2021 tetapi, walaupun merupakan salah satu hartanah yang paling banyak dilihat, kekurangan alat pemanasan, internet, masalah lokasi terpencil dan tidak boleh diakses telah menyebabkan kediaman berkenaan gagal dijual.

Ketua Agensi Hartanah Mitchell, Andrew Wright berkata, hartanah itu dijual sekali lagi bersama 1,214 hektar tanah termasuk kawasan gunung Skiddaw Forest, Skiddaw Mountain dan Great and Little Calvalokasi, sekali gus menjadi satu daripada kawasan terbesar di taman negara Lake District yang pernah dijual.

Kediaman itu mempunyai enam bilik tidur dan lima bilik mandi dengan dihiasi dekorasi menarik serta dilengkapi dengan taman di bahagian luar yang memukau pandangan.

Skiddaw House dibina pada tahun 1829 oleh generasi Earl of Egremont ketiga untuk menempatkan penjaga haiwan sebelum menjadi kawasan terbiar sekitar tahun 1980-an.

Sejak tahun 2007 kawasan itu dibangunkan menjadi asrama Persatuan Asrama Belia (YHA) dan sebelum wabak Covid-19 menular, kira-kira 2,500 orang setahun akan bermalam di kediaman itu.

The post Rumah paling sunyi di Britain bakal dijual RM54 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *