MANILA: Ribut tropika yang membadai utara Filipina kelmarin bertukar lebih buruk menjadi taufan yang membawa hujan lebat dan angin kencang sehingga menenggelamkan kampung dan kawasan pertanian.

Menurut agensi pemantauan bencana, hampir 1,000 penduduk di gesa berpindah ke kawasan selamat.

berdasarkan rakaman video yang dikongsi penduduk di pekan Claveria di Cagayan, banjir besar menenggelamkan sejumlah rumah, selain mengakibatkan pokok tumbang susulan angin kencang.

Biro cuaca memaklumkan, Taufan Nesat membawa angin kencang sekuat 120 kilometer sejam dan dijangka bertambah kuat ketika bergerak ke Laut China Selatan.

Dalam pada itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menerusi Twitter memaklumkan bantuan kerajaan dalam perjalanan ke kawasan terjejas.

Terdahulu, sekurang-kurangnya lapan maut termasuk lima anggota penyelamat akibat Taufan Noru yang membadai utara negara ini.

Di Australia pula, ribuan penduduk pulang ke rumah dan premis perniagaan masing-masing untuk menilai kerosakan yang berlaku, biarpun amaran pemindahan masih dikekalkan.

Amaran banjir masih diletakkan di kebanyakan kawasan di seluruh negara biarpun jumlah hujan semakin menurun.

Sebahagian besar negeri Victoria, selatan New South Wales dan wilayah utara Tasmania berdepan sistem cuaca ekstrem pada minggu lalu dengan sebahagiannya mengalami hujan lebat lebih sebulan.

Di barat Melbourne, penduduk mula mengumpulkan barangan yang rosak akibat banjir. – REUTERS

The post Rumah tenggelam di Filipina, banjir termenung di Australia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *