KUANTAN: Pendedahan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung proses rundingan membentuk kerajaan negeri antara Barisan Nasional (PN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah situasi sebenar yang berlaku, bukan diputar belit cerita seperti mana didakwa oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, difahamkan, Saifuddin tidak terlibat semasa rundingan dijalankan dan apa didakwanya tersebut seolah-olah beliau tahu proses yang berlaku.

“Apa dinyatakan oleh Wan Rosdy adalah cerita sebenar setelah tersebar cerita tidak tepat dan sekerat jalan yang dibuat pimpinan PN.

“Tidak disangka PN apabila tidak dapat bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri, cerita yang dikeluarkan menggambarkan yang buruk hanya BN bukan gabungan itu.

“Apa dinyatakan oleh Wan Rosdy juga mempunyai saksi yang boleh mengesahkan hasil rundingan antara BN dan PN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rabu lalu, Wan Rosdy menyatakan bahawa keputusan BN Pahang memilih bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana dua parti itu selari mengutamakan kestabilan negeri berbanding PN.

Menteri Besar tersebut dilaporkan sebagai berkata, keutamaan PN adalah terhadap jawatan dan ia dapat dilihat ketika perbincangan awal apabila gabungan itu menawarkan beliau jawatan Senator dan akan dilantik menteri penuh.

Hari ini, Saifuddin mendakwa Wan Rosdy tidak menjelaskan fakta sebenar di sebalik proses rundingan di antara PN dan BN baru-baru ini.

Pengerusi PN Pahang tersebut dilaporkan sebagai berkata, rundingan di antara di Wan Rosdy yang mewakili BN dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PN melibatkan tiga pusingan dan gabungan berkenaan telah bertolak ansur asalkan bukan PH yang membentuk kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pimpinan PN seharusnya berani mendedahkan cerita sebenar, jangan hanya cerita sekerat yang tidak menggambarkan keseluruhan hasil rundingan yang dibuat antara kedua-dua pihak.

“Semasa rundingan, BN ketika itu sudah pun mempunyai majoriti membentuk kerajaan negeri hasil persetujuan tanpa syarat oleh PH.

“Jika PN hendak menyertai waktu itu, gabungan tersebut seharusnya bersetuju terma-terma ditetapkan, bukan menetapkan dan meminta kita supaya mengikut mereka,” katanya.

Beliau berkata, pimpinan PN termasuk Pas seharusnya menerima kenyataan gabungan itu tidak dapat membentuk kerajaan peringkat negeri dan Pusat.

“Usah dilupakan pada 2008, Pas memilih DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan di Selangor, sedangkan Pas mempunyai pilihan untuk bekerjasama dengan UMNO pada waktu itu,” katanya. – UTUSAN

The post Rundingan kerajaan negeri: Wan Rosdy hanya cerita situasi sebenar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *