KUALA SELANGOR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesan berlaku pergerakan tanah susulan insiden runtuhan bongkah batu yang menghempap sebuah sub stesen elektrik di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Raja Musa, Bestari Jaya di sini, hari ini.

TNB dalam kenyataannya berkata, bekalan elektrik di sekitar kawasan itu diputuskan demi keselamatan orang awam.

“Pencawang itu adalah terpencil dan hanya membekalkan elektrik kepada premis ladang berkenaan.

“Kerja baik pulih aset dan bekalan TNB hanya boleh dilakukan selepas pembersihan selesai dan disahkan selamat oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah kenyataan itu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih menjalankan pemantauan berterusan di tapak tersebut.

Terdahulu, media melaporkan sub stesen TNB itu musnah akibat dihempap bongkah batu yang runtuh, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi melibatkan 80 peratus kemusnahan . – UTUSAN

 

The post Runtuhan bongkah batu: TNB kesan pergerakan tanah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *