MOSCOW: Beberapa imej satelit menunjukkan Russia sedang menambah bilangan pesawat pengebom nuklear yang ditempatkan di sebuah pangkalan udara berhampiran sempadan Finland dan Norway.

Langkah itu dilakukan di tengah-tengah ketegangan tinggi sama ada Presiden Vladimir Putin merancang untuk melancarkan serangan atom di Eropah dan operasi ketenteraan khas di Ukraine mengalami beberapa kegagalan sejak kebelakangan ini.    

Lapor Daily Mail, Moscow secara berperingkat meningkatkan bilangan pesawat pengebom di pangkalan udara Olenya di utara Russia.

“Tiada satu pun (pesawat pengebom) dikesan pada 12 Ogos lalu menerusi imej satelit itu.

“Ia kemudian bertambah kepada empat buah pesawat supersonik Tu-160 pada 21 Ogos lalu, dan ketika ini terdapat sebanyak 11 unit pesawat pengebom,” jelas laporan itu.

Berita mengenai penambahan bilangan pesawat pengebom muncul selepas rakaman menunjukkan detik sebuah stor penyimpanan senjata di Russia dibedil Ukraine dalam serangan terbaharu.

Imej satelit itu turut menunjukkan terdapat tujuh pesawat pengebom Tu-160 dan empat pesawat Tu-95 di kemudahan itu di Semenanjung Kola. 

Penemuan itu didedahkan oleh laman sesawang, Faktisk.no yang memperoleh data daripada pengendali satelit berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Planet.

Isu penambahan pesawat itu berikutan kebimbangan dunia berhubung laporan dikeluarkan The Jerusalem Post dua minggu lalu yang mendedahkan ‘pengerahan luar biasa’ tujuh pesawat pengebom nuklear di pangkalan udara itu. 

Ia didedahkan oleh firma perisikan Israel, ImageSat International yang mengesan `kehadiran’ pesawat TU-160 dan TU-95.

The post Russia tambah pesawat pengebom nuklear appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *