PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (TIA) terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, ia bagi membolehkan rang undang-undang berkenaan diperhalusi terlebih dahulu.

Menurut beliau, pihaknya memandang berat isu-isu dibangkitkan oleh Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) yang mewakili 39 kesatuan sekerja.

“CAMU mengemukakan rayuan supaya Dewan Negara meneliti sedalam-dalamnya peruntukan-peruntukan pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022.

“Dua perkara penting yang dibangkitkan ialah tidak ada penubuhan kesatuan sekerja berlapis-lapis atau terlalu banyak bilangannya.

“Melihat semula kuasa-kuasa tertentu yang membantutkan hak asasi kesatuan sekerja dan hak anggotanya,” katanya.

Terdahulu, Rais menerima kunjungan hormat daripada wakil CAMU di Parlimen hari ini, berhubung dengan RUU Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022. – UTUSAN

The post RUU Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 dibawa ke TIA appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *