KOTA BHARU: Tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sanggup menerima jawatan Menteri Besar dengan membentuk gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) boleh dilabel sebagai tidak berprinsip.

Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohamad Kamal Mohamed berkata, soal tawaran untuk menjadi Menteri Besar tidak timbul sekiranya beliau berpegang teguh kepada prinsip.

Katanya, tindakan Saarani yang mendakwa tiada perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) juga adalah kesilapan besar. 

“Pengerusi BN Perak nampaknya cuba menegak benang yang basah. Penafian mahukan jawatan Menteri Besar dengan menerima tawaran menjadi Menteri Besar oleh PH adalah suatu perkara yang sama.

“Beliau memulakan suatu langkah songsang untuk bersama-sama dengan DAP melalui jalan singkat, semata-mata untuk jawatan dengan menggadai prinsip UMNO sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Kamal turut mempersoal apakah tindakan Saarani dianggap cerdik oleh ahli UMNO dengan menerima gabungan PH yang didominasi oleh DAP.

Katanya, sudah pasti pihak yang paling gembira adalah DAP kerana Perak menjadi Pulau Pinang kedua bagi mereka.

“Apakah beliau yakin gabungan ini boleh menatijahkan kerajaan stabil dan makmur dengan pakatan yang tidur sebantal, mimpi lain-lain serta bagaimana dengan penerimaan ahli UMNO Perak terhadap pemilihan gabungan ini?

“Justeru, soalan-soalan ini saya tinggalkan untuk disantuni jawapannya oleh Saarani dan mereka yang terlibat dengan gabungannya.Inilah barangkali yang disebut menang sorak, kampung tergadai, kesian,” katanya.

Semalam, media melaporkan Saarani mendedahkan tiada sebarang tawaran dibuat PN kepada parti itu untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Menurut beliau, walaupun terdapat pertemuan antaranya dan Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, namun, tiada sebarang tawaran diterima pihaknya sehingga kini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di Istana Iskandariah dekat Bukit Chandan di sini semalam.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada pukul 5.30 petang. – UTUSAN

 

The post Saarani gadai prinsip demi jawatan Menteri Besar- Pemuda Pas Kelantan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *