IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tiba di Istana Kinta di sini bagi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Saarani tiba di Istana Kinta pada pukul 2.08 petang dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Volvo.

Kehadiran Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu bagi memohon perkenan Sultan Nazrin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Terdahulu, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim turut tiba di Istana Kinta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa serta-merta selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi pengumuman khas itu, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen.

Perdana Menteri berkata, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain kelancaran proses demokrasi dan menjimatkan kos.

Setakat ini, kerajaan negeri Selangor mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN sehingga hujung tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di Selangor, semalam. – UTUSAN

The post Saarani menghadap Sultan Perak di Istana Kinta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *